Lina Mohamad Lin

Lina Mohamad Lin tidak boleh dipisahkan dalam dunia hiburan tempatan dalam era 1970-an dan 1980-an. Mula menyanyi dalam tahun 1974 ketika berusia 16 tahun. Beliau menyanyi dalam majlis-majlis di Istana Negeri dan majlis-majlis rasmi kerajaan serta menjadi artis undangan di hotel-hotel terkemuka. Selain menyanyi, beliau juga adalah penari kebudayaan, menguasai pelbagai jenis tarian dan pernah mewakili Sabah dan delegasi Malaysia ke Jepun pada tahun 1979. Sebagai seorang penulis pula, beliau sudah menghasilkan lebih 200 skrip drama radio. Pernah berlakon teater dan juga berbakat dalam penulisan puisi. Salah satu puisinya, berjudul Eyang menang Hadiah Sastera Sabah 2012/2013. Kini disamping tugasnya sebagai penjawat awam, beliau sedang giat mengumpulkan karya-karyanya untuk dibukukan dan dijangka terbit tidak lama lagi.

LINA MOHAMAD LIN atau nama penanya Siti Noorsabah dan Rafflesia Darlina, dilahirkan di Jesselton (kini Kota Kinabalu) Sabah pada 28 September 1957. Anak sulung daripada sepuluh adik beradik ini menulis skrip drama radio terbitan RTM Sabah, RTM Angkasapuri dan RTM W.P. Labuan sejak tahun 1983. Kini beliau menghasilkan lebih 200 skrip termasuk drama kanak-kanak, Bualan Hujung Minggu dan Lembah Hijau. Dua buah skrip drama radio beliau berjudul Tragedi Perigi Tua dan Koide San dimuatkan dalam antologi bersama Pahlawan Lembah Tempasuk terbitan DBP tahun 1998,. Beliau juga menjadi editor Buku Panduan: Pusat-Pusat Sejadi di Sabah edesi 2003 dan 2005, terbitan Unit Sains & Teknologi, Jabatan Ketua Menteri Sabah dengan kerjasama Japan International Cooporation Agency (JICA), Puisi Tanduo: Selagi Ada Bulan dan Matahari dan Di Sini Setia Kami Teruji termuat dalam antologi bersama Tanduo Oh Tanduo 2013 (diselenggara Prof. Madya Dr. Talib Samat). Manakala 30 buah puisi lagi terkumpul dalam antologi bersama Kuntum Kasih terbitan Metro Media Publication & Services 2013. Dua buah puisinya termuat dalam antologi bersama MH370 (2014). Karya puisi beliau juga dimuatkan dalam Wadah terbitan DBP Cawangan Sabah. Di samping menulis puisi, beliau menulis dan menerbitkan sendiri buku Biodata Artis-Artis Senior Sabah (Era 1950-1980). Pada masa ini, beliau bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir Kanan di Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan bergiat aktif dalam Kumpulan Protem Seniman Senior Sabah (Era 1950-1980). Puan Lina mendirikan rumah tangga dengan penyiar RTM , Abdul Rahim Rashid pada 25 Disember 1982 dan dikurniakan empat cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan.Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah 2012/2013 bagi genre puisi. Bagi mengenang jasa baktinya, beliau dianugerahkan Bintang Setia Kinabalu (BSK) Sempena Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah.